Apa yang dimaksudkan dengan ‘TANAH LOT’ di sini adalah bidang tanah yang mempunyai nombor rujukan dimulai dengan ‘LOT’ di depan bukan ‘PLOT’ atau ‘PT’.
DEFINASI TANAH ‘LOT’
Tanah lot mempunyai geran tanah sendiri yang dikeluarkan oleh pihak Pentadbir Tanah Negeri melalui Pejabat Tanah Daerah. Tanah lot mempunyai batu sempadan yang telah pun ditandakan di atas tanah. Tanah lot juga mempunyai pelan yang diperakui ( Pelan PA ) yang dikeluarkan oleh Jabatan Ukur & Pemetaan Malaysia ( JUPEM ) untuk dibuat sebagai rujukan rasmi bagi lot tersebut.
DEFINASI TANAH ‘PT’
Berbeza pula keadaannya dengan tanah yang ditulis dengan ‘PT’ di depan. Tanah yang bernombor PT mempunyai geran tanah sendiri sama seperti tanah LOT. Tetapi tanah PT masih lagi hanya berstatus sementara ( nombor sementara / lot sementara / geran tanah sementara ) disebabkan kerja ‘ukuran halus / title survey’ bagi penandaan batu sempadan masih belum dibuat oleh kerajaan atau Jurukur Tanah Berlesen ( LS ) yang dilantik. Tanah PT tidak mempunyai pelan PA untuk dibuat sebagai rujukan rasmi. Semua jarak dan bearing garisan sempadan tanah lot PT termasuklah keluasan sebenar adalah bersifat sementara sahaja dan boleh berubah setelah kerja ukuran halus penandaan batu sempadan dibuat oleh Kerajaan atau LS yang dilantik.
CONTOH GERAN TANAH SEMENTARA LOT PT
DEFINASI TANAH ‘PLOT’
Manakala bagi tanah yang hanya berstatus ‘plot’ sahaja, tanah tersebut tidak mempunyai geran tanah secara individu seperti tanah ‘LOT’. Tanah tersebut bukanlah satu lot sementara seperti tanah lot ‘PT’. Tanah ini hanyalah sebahagian tanah yang berkongsi hakmilik dengan tanah bahagian hakmilik orang lain dalam satu lot yang sama dan satu geran tanah yang sama.
CONTOH PELAN PLOT PECAHAN BAHAGIAN TANAH LOT
RINGKASAN ARTIKEL
Secara ringkasan, mana-mana bahagian tanah yang berstatus ‘PLOT’ jika pemiliknya ingin mendapatkan geran tanah berasingan tidak mahu lagi berkongsi geran tanah yang sama dengan pemilik-pemilik lain, maka dia perlulah membuat permohonan rasmi pecahan bahagian kepada Pentadbir Tanah Negeri melalui Pejabat Tanah Daerah. Permohonan pecahan bahagian tersebut perlulah memenuhi syarat tertentu yang telah ditetapkan oleh Kanun Tanah Negara.
Sesuatu permohonan pecahan bahagian yang cukup syarat akan didaftarkan dan dikeluarkan satu hakmilik / geran tanah sementara oleh pihak Pejabat Tanah Daerah. Sekarang barulah tanah ‘plot’ tersebut berubah menjadi tanah lot ‘PT’ yang mempunyai geran tanah sendiri tetapi masih lagi berstatus sementara.
Permohonan tersebut akan dibawa kepada pihak Pentadbir Tanah Negeri berserta dengan kesemua komen serta ulasan daripada pihak-pihak berkuasa yang terlibat seperti pihak Majlis Perbandaran, Jabatan Parit & Saliran serta lain-lain lagi.
Hanya setelah memenuhi kesemua syarat dan diberikan kelulusan oleh semua pihak berkuasa yang terlibat barulah permohonan tersebut akan diberikan kelulusan oleh pihak pentadbir tanah. Barulah kerja ukuran halus penandaan batu sempadan boleh dibuat dan satu pelan PA bagi lot tanah tersebut boleh dikeluarkan.
NOTA KAKI
“KEPENTINGAN MEMBUAT PELAN PECAHAN BAHAGIAN ”
“FAQ's : SOALAN LAZIM PELANGGAN UKUR TANAH”
TERIMA KASIH
----------------------------------------------------
Jurukur Tanah Klang @ 2023
Tiada ulasan:
Catat Ulasan