expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

29 Ogos, 2016

UKUR TANAH : KEPENTINGAN MEMBUAT PELAN PECAH BAHAGIAN


بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 








Salam Sejahtera dan Salam Merdeka.

Bersempena dengan sambutan ulangtahun hari kemerdekaan Malaysia yang ke 59 pada 31 Ogos, 2016 ini, penulis memang sengaja memilih tajuk artikel mengenai kepentingan membuat atau menyediakan pelan pecah bahagian ada bersebabnya dan penulis tujukan artikel ini khas untuk pemilik-pemilik tanah persendirian yang berkongsi hakmilik tanah beramai ramai di dalam satu geran. Atau untuk lebih mudah faham, satu geran tanah yang mempunyai banyak nama tuan tanah yang berkongsi hakmilik ke atas tanah tersebut dan memiliki jumlah bahagian yang tidak sama luas di antara satu sama lain.

Bagaimanakah boleh terjadi satu geran tanah tapi mempunyai banyak nama yang dituliskan di dalam mukasurat kedua geran tanah sebagai pemilik yang berhak ke atas tanah tersebut..?

--------------------------------------------------------

Jika anda merancang hendak mendapatkan khidmat Jurukur Tanah untuk mengukur tanah anda atau menyediakan pelan tanah, anda boleh mendapatkan penerangan lanjut mengenai perkhidmatan yang kami sediakan berserta anggaran harga kos upah ukur tanah dengan pergi ke link yang kami sediakan di bawah.


Anda boleh hubungi kami secara
 Telefon @ WhatsApp

012-3949064





-----------------------------------------------

KENAPA TERDAPAT GERAN TANAH YANG BERKONGSI BANYAK NAMA DI DALAMNYA

Penulis tak akan menghuraikan satu persatu punca terjadi begitu kerana terdapat banyak alasannya dan sejarahnya. Tetapi apa yang penulis nak tumpukan hanyalah kepada 2 sebab yang biasa terjadi yang berlaku di setiap hari dan tidak akan pernah ada pengakhirannya.

Pertama, akibat dari proses penurunan hak kepada pewaris. Pada asalnya geran tanah itu hanya mempunyai 1 nama pemilik sahaja tetapi apabila berlaku kematian pada pemilik tanah tersebut maka hak ke atas tanah itu akan diperturunkan pula kepada suami, isteri dan anak-anaknya. Contohnya, apabila seorang lelaki yang telah berkahwin dan mempunyai anak 4, dia memiliki sebidang tanah dan dia telah meninggal dunia maka namanya sebagai pemilik tanah di dalam geran tanah akan digantikan pula dengan nama isterinya dan juga nama setiap anak-anaknya yang perlu dibuktikan melalui sijil perkahwinan dan juga sijil surat beranak yang sah.

Secara perkiraan mudah, hakmilik ke atas tanah tersebut akan diberikan kepada 5 nama iaitu nama bekas isteri dan 4 anaknya dengan masing-masing akan dituliskan mempunyai seorang 1/5 bahagian di dalam geran tanah. Apabila isterinya pula meninggal dunia maka bahagian miliknya yang 1/5 itu akan dibahagikan pula kepada 4 anak tadi. Maka geran tanah akan dipinda sekali lagi dengan membuang nama si isteri dan hakmilik anak-anaknya akan dipinda menjadi seorang 1/4 bahagian pula.

Proses penurunan hakmilik tanah secara wasiat atau pusaka ini tidak akan terhenti disitu saja. Jika salah seorang dari anak yang mempunyai 1/4 bahagian itu meninggal dunia pula maka hakmiliknya akan turut diperturunkan pula kepada saudaranya yang lain atau pun kepada suami atau isterinya dan juga anak-anaknya. Inilah punca utama mengapa satu geran tanah itu mempunyai banyak nama.

( Nota : Bagi pemilik tanah yang beragama Islam, proses penurunan hakmilik tanah setelah berlaku kematian kepada pemiliknya, tanah itu akan dibuat pembahagian secara hukum 'Faraid' oleh pihak Pejabat Pusaka Kecil, Pejabat Tanah Daerah )

Kedua, akibat dari aktiviti jual beli tanah. Contohnya, ada seorang tuan tanah yang mempunyai tanah seluas 4 ekar dengan hanya namanya sahaja di dalam geran tanah lot tersebut. Dia bercadang mahu membina rumah di atas tanah tersebut tetapi tidak mempunyai modal wang yang cukup. Lalu dia pun menawarkan separuh daripada tanah hakmiliknya itu kepada siapa-siapa yang mampu dan mahu membeli. Setelah dijual separuh tanahnya maka geran tanah akan dipinda dengan memasukkan nama pembeli tanah tersebut dan sekarang hakmilik ke atas tanah itu akan menjadi 2 nama dengan masing-masing mempunyai 1/2 bahagian yang bersamaan dengan masing-masing memiliki tanah seluas 2 ekar. Dengan wang hasil jualan separuh hakmilik tanah tersebut, si pemilik asal pun membinalah sebuah rumah di atas bahagiannya.

Kemudian pula si pembeli tanah tadi ingin membuka sebuah perniagaan tetapi tidak mempunyai cukup modal. Lalu dia pun menawarkan separuh daripada hakmiliknya yang 2 ekar itu kepada kawannya yang berminat. Apabila proses jual beli antara mereka selesai maka sekarang geran tanah itu akan dipinda sekali lagi kepada 3 nama. Pemilik asal mempunyai 1/2 bahagian bersamaan 2 ekar, pembeli tanah mempunyai 1/4 bahagian dan kawannya juga mempunyai 1/4 bahagian yang bersamaan seorang 1 ekar.

Aktiviti jual beli tanah inilah yang menjadi penyebab kedua terbanyak kenapa satu geran tanah itu mempunyai banyak nama di dalamnya.

OK lah.. selepas mukadimah yang panjang mengenai punca terdapat banyak nama dalam satu geran tanah sekarang penulis akan perjelaskan pula tujuan artikel ini ditulis iaitu berkenaan pentingnya membuat pelan pecah bahagian bagi tanah yang berkongsi banyak nama dalam satu geran tanah.

Pengalaman penulis yang berhadapan dengan banyak karenah tuan-tuan tanah yang tidak berpuashati dengan garisan sempadan tanah yang dikongsi dengan jiran sebelah dan juga daripada banyak pertanyaan yang penulis terima mengenai garisan sempadan yang berubah-ubah setiap kali di ukur semula, inilah puncanya mengapa penulis memilih isu garis sempadan tanah yang dikongsi bersama dan penulis menegaskan bahawa urusan membuat atau menyediakan 'Pelan Pecah Bahagian' ini adalah sangat penting. Kepentingan pelan ini yang utama adalah ia dapat mengelak atau menghindari daripada terjadinya pergaduhan sesama jiran, sesama adik beradik hingga terdapat kes yang dibawa ke balai polis dan pejabat peguam dan hanya akan berakhir apabila hakim memberikan keputusan penghakiman di mahkamah hanyalah disebabkan oleh satu isu kecil sahaja iaitu garisan sempadan tanah yang bertindih.


Di dalam geran tanah yang mempunyai banyak nama, apa yang dituliskan oleh pihak pejabat tanah sebagai hak pemilik-pemilik tanah itu hanyalah merupakan keluasan bahagiannya sahaja tetapi di dalam pelan tanah untuk lot tanah tersebut pada mukasurat belakang geran tanah itu tidak pula ditandakan dimanakah terletaknya bahagian mereka dan dari mana hingga kemanakah sempadan bahagian mereka. Jadi buat menambah pemahaman akan isu ini perlu anda tahu, bagi keluasan tanah yang sama, bentuknya boleh berubah ubah dan tidak sama. Maksudnya panjang dan lebar tanah itu boleh berubah dan tidak sama walaupun dari segi luas ia adalah sama.


Contohnya luas tanah : 2400 kaki persegi ( kp )

1.) Lebar tanah 40 kaki dengan panjang tanah 60 kaki
=> 40 kaki X 60 kaki = 2400 kp

2.) Lebar tanah 30 kaki dengan panjang tanah 80 kaki
=> 30 kaki X 80 kaki = 2400 kp

3.) Lebar tanah 48 kaki dengan panjang tanah 50 kaki
=> 48 kaki X 50 kaki = 2400 kp

Kesemua 3 contoh di atas walau pun mempunyai lebar dan panjang yang berlainan tetapi dari segi keluasan tetap juga sama iaitu 2400 kp. Jadi inilah maksud penulis bahawa walaupun tanah itu mempunyai luas yang sama tetapi bentuknya boleh berubah dan boleh jadi tidak sama.

Inilah punca banyak terjadi masalah garisan sempadan yang berubah ubah tidak sama tempat apabila di ukur semula. Boleh dikatakan kebanyakan masalah garisan sempadan tanah ini adalah berpunca daripada penandaan untuk garisan sempadan bahagian masing-masing tanpa menggunakan pelan pecah bahagian yang sama yang digunakan oleh kesemua pemilik-pemilik tanah tersebut.

Kerap terjadi apabila seorang pemilik tanah yang berkongsi dengan orang lain mahu menandakan bahagiannya tetapi dia tidak mahu membuat pelan pecah bahagian untuk kesemua pemilik tanah yang lain dengan alasan mereka yang lain tidak mahu mengeluarkan wang untuk melukis pelan dan penandaan sempadan. Jadi dia hanya mahu ditandakan keluasan bahagiannya sahaja. Kemudian pemilik tanah yang lain pulak membuat yang sama, tanpa pelan dia pun cuma mahu tandakan keluasan bahagiannya saja. Inilah bakal menjadi masalah kepada garisan sempadan tanah yang berkongsi geran ini.

Bagi seorang jurukur tanah yang telah berpengalaman luas dalam hal penandaan bahagian, jurukur tanah ini pasti akan bertanyakan kepada pemilik tanah samada sebelum ini pernahkah dibuat pelan pecah bahagian. Jikalau pernah dibuat, pemilik tanah perlulah memberikan salinan pelan tersebut kepada jurukur kemudian barulah jurukur tanah itu akan menandakan bahagiannya mengikut pelan yang telah sedia ada itu.

Tetapi jika belum pernah dibuat pelan pecah bahagian maka jurukur tanah tersebut perlulah melukis satu pelan pecah bahagian yang baru yang didalamnya perlulah juga dilukiskan garisan sempadan bahagian tanah hakmilik pemilik tanah yang lain. Tuan tanah yang mengupah jurukur tanah itu perlulah berbincang dengan pemilik yang lain dan berkongsi jumlah bayaran yang perlu dibayar bagi penyediaan pelan pecah bahagian tersebut. Jikalau pemilik tanah yang lain tidak mahu menandakan bahagiannya itu tidak menjadi masalah. Apa yang perlu adalah kesemua pemilik tanah itu berkongsi bayaran untuk penyediaan pelan pecah bahagian sahaja. Kemudian pelan pecah bahagian itu hendaklah diberikan satu salinan kepada setiap pemilik tanah yang lain supaya apabila mereka hendak menandakan bahagian hakmilik mereka nanti, mereka akan gunakan pelan yang sama yang telah dibuat itu.

Jika pelan pecah bahagian untuk lot tanah tersebut telah dibuat dan dipersetujui oleh kesemua pemilik tanah maka barulah tidak timbul masalah dari segi garis sempadan yang tidak sama tempat atau bentuk tanah yang tidak sama dan boleh berubah ubah setiap kali ditandakan bahagian mereka.

Mungkin tak kesemua pemilik tanah yang berkongsi geran akan setuju untuk mengeluarkan kos bagi jurukur tanah membuat penandaan sempadan bahagian masing-masing tetapi kos bagi penyediaan pelan pecah bahagian bukannya mahal sangat pun jika dikongsi bayar.

Pelan pecah bahagian yang penulis tunjukkan sebagai contoh di atas cuma berharga RM 400 bagi penyediaannya. Jika dikongsi bayarannya oleh kesemua 8 pemilik tanah itu, seorang pemilik tanah hanyalah perlu membayar RM 50 sahaja. Dengan RM 50 yang mereka bayar kepada jurukur tanah untuk melukis pelan pecah bahagian tanah mereka, pada bila-bila masa pun jika mana-mana pemilik tanah mahu menandakan bahagiannya, pelan pecah bahagian sudah ada dan mereka tidak akan bergaduh lagi sesama mereka dan tidak akan ada perasaan tidak puashati lagi akibat garisan sempadan tanah mereka bertindih atau ada yang telah diambil oleh pemilik tanah yang lain.

Dengan adanya pelan pecah bahagian di dalam simpanan mereka, walaupun 10 atau 20 atau 30 tahun yang akan datang pun garis sempadan tanah bahagian mereka tetap akan sama tempatnya dan boleh ditandakan semula jika hilang penandanya.

Jadi inilah pentingnya dibuat pelan pecah bahagian dan disimpan pelan yang sama oleh setiap pemilik tanah untuk geran tanah yang berkongsi banyak nama. Setiap garisan sempadan tanah mereka akan terjaga dan tiada lagi perasaan tidak puashati sesama jiran ataupun pergaduhan akibat daripada garisan sempadan tanah yang tidak sama tempat dan berubah ubah setiap kali di ukur semula.

--------------------------------------------------------

Bagi pemilik tanah yang mahu membuat pelan pecahan bahagian, samada nak ditandakan di atas tanah atau tak perlu ditandakan atas tanah, anda boleh menghubungi kami untuk berbincang. Selain dari membuat kerja ukur tanah kami juga menyediakan perkhidmatan melukis pelan tanah yang mengikut kemahuan pemilik tanah.

Untuk penjelasan lanjut cara kami berurusan dengan pelanggan, sila klik link di bawah :






------------------------------------

Jurukur Tanah Klang @ 2023




20 Jun, 2016

THE SURVEYOR : Menjadi Seorang Jurukur Tanah Part 2









بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 



















Ini cuma pendapat peribadi penulis saja mengenai Surveyor. Pendapat ini terbit dari hasil pengalaman peribadi penulis sendiri yang lebih 20 tahun dalam bidang ukur tanah bermula dari zaman surveyor masih dipanggil 'kerani', buat kerja 'traverse' masih gunakan 'rantai', buat 'leveling' masih gunakan 'setaf gajah' dan 'tali plumbob' adalah alat yang terpenting sekali jika nak mendapatkan hasil misclose bearing yang terbaik.





Dulu-dulu setiap kaki tripod tak kiralah samada yang di depan untuk buat station baru, yang di belakang untuk ikat back bearing atau yang di tengah yang dipasang dengan kompas ( sebutan bagi alat ukur dulu2 ) semua mesti kena gantung tali plumbob. Biasanya untuk yang dibelakang tak pakai tripod, tapi pakai 'kayu kaki tiga' yang dibuat sendiri guna batang penyapu.





Walau apapun teknologi yang datang dan pergi dalam bidang ukur tanah, apabila tidak lagi bercakap tentang 'bearing' tentang 'jarak' tentang 'datum' tentang 'batu sempadan' maka ini bukanlah surveyor yang sejati tetapi lebih merupakan operator peralatan atau operator pemproses data saja. Budaya dan jiwa seorang surveyor telah tiada lagi hilang hasil teknologi yang digunakan. Buku 555 dan kalkulator tidak lagi dibawa kemana saja. Budaya suka meminta dari orang lain berkembang mengatasi budaya belajar menuntut ilmu dengan dicatit nota.





Mungkin kerana inilah agaknya masyarakat sekarang makin memandang rendah kepada surveyor hinggakan panggilan 'kerani' pun sudah tidak pernah lagi dipanggil kepada kita. Walau pun berperanan penting serta berjasa besar tetapi profesion surveyorlah yang paling kurang sekali mendapat perhatian di mana-mana pun sekarang ini....titik





( nukilan hasil menunggu waktu sahur )









Jurukur Tanah BaganBeachBoy ingin mengucapkan








"SELAMAT BERPUASA DI BULAN RAMADHAN"





SEKIAN TERIMA KASIH








SHARING IS CARING




02 Jun, 2016

SISTEM KORDINAT GDM2000 DALAM PELAN AKUI FORMAT TERKINI



( klik foto untuk besarkan pandangan )


Mulai tahun 2009, kesemua Pelan Akui ( PA ) keluaran Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia telah pun menggunakan sistem kordinat Geocentric Datum of Malaysia 2000 atau lebih dikenali dengan GDM2000.

Ini sekaligus telah menggantikan sistem kordinat yang digunapakai sebelum ini iaitu State Cassini iaitu sistem kordinat yang mempunyai titik origin ( 0,0 ) tersendiri bagi setiap negeri.

Sistem kordinat GDM2000 ini adalah bagi menyeragamkan kordinat yang digunakan bagi seluruh negara Malaysia. Kini baik pelan PA keluaran JUPEM Johor atau pun JUPEM Kelantan yang dikeluarkan bermula tahun 2009, kordinat yang digunakan adalah selaras dan sama sistemnya.

Perlu diakui sebagai pengguna dan juga pelanggan tetap pelan PA JUPEM ini, kami sebagai jurukur tanah amat mengalu-alukan perubahan sistem yang lebih selaras ini. Sistem kordinat GDM2000 dengan mudah pula boleh ditukarkan nilainya kepada sistem kordinat GPS yang menggunakan, darjah, minit dan saat bagi dua garisan LATITUDE dan LONGITUDE ( garisan bujur dan melintang paksi bumi ). 

* Update : Contoh foto Pelan Diperakui ( PA ) yang dilampir di atas adalah sekadar contoh format pelan PA yang pernah diterbitkan oleh JUPEM sebelum ini. Tapi selaras dengan komen-komen dan kritikan yang diterima dari pelanggan terutamanya dari kalangan jurukur tanah, pihak JUPEM sudah pun menukar kembali pelan PA hampir kepada format lama yang ada ditulis nilai jarak & bearing di atas setiap garisan sempadan lot.

Tetapi dari segi keseluruhannya, PA dalam format baru ini amatlah mengecewakan dan menyusahkan kerana ia menyebabkan kami perlu membuang masa untuk membuat pengiraan dan juga mencari data tambahan bagi membandingkan nilai kordinat sesuatu batu sempadan itu jika PA lot sebelahan yang hendak diukur masih lagi dalam format lama iaitu masih dalam State Cassini sedangkan disebelahnya menggunakan GDM2000.

PA yang baru ini agak tidak mesra pengguna. Setiap lot yang ditandakan dengan bearing dan jarak adalah bersifat satu pulau satu pulau dan tidak mempunyai link atau hubungan dengan lot yang dipisahkan dengan jalan atau lain-lain.

Kelebaran bagi rezab jalan tersebut pun tidak ditulis dan inilah yang menyebabkan kami terpaksa meneliti dan menghitung dengan tepat supaya tidak menjadi kesalahan pada kordinat yang dihitung tersebut.

Dalam PA tersebut juga tidak diberikan nilai kordinat mengikut sistem lama State Cassini dan tidak juga diberikan cara atau formula faktor penukaran nilai kordinat dari GDM200 ke Cassini atau sebaliknya. Nilai kordinat perlu dihitung dan ditukar sendiri oleh pengguna.

Daripada menyediakan formula faktor tukaran nilai kordinat dari satu format ke format lain di dalam setiap pelan PA, pihak JUPEM hanya menulis satu nota sahaja yang memberitahu jenis kordinat yang digunapakai dalam pelan PA tersebut. Jika pengguna tidak tahu cara atau formula yang betul untuk menukar, pihak JUPEM ada menyediakan perkhidmatan penukaran nilai kordinat di dalam laman web E-biz JUPEM. Tetapi perkhidmatan ini bukanlah percuma, bagi setiap point yang mahu ditukar nilai bayaran sebanyak RM 4 akan dikenakan kepada pengguna.

Untung..... untung..... untung..... hahaha




Gambarajah di atas adalah merupakan panduan bagi penukaran kordinat antara 2 sistem iaitu antara Cassini Selangor / Kuala Lumpur dan GDM2000 dan sebaliknya.


CONTOH DARI GAMBARAJAH UNTUK PENUKARAN CASSINI SELANGOR / KUALA LUMPUR KE GDM2000

Kordinat origin ( 0,0 ) Cassini Selangor apabila ditukar kepada GDM200 adalah ( -55960.95 , 21759.46 ).


JIKA kordinat Cassini Selangor mahu ditukar kepada GDM2000 perlulah :


a.) Kordinat U/S Cassini di TOLAK dengan ( 55960.95 )

b.) Kordinat T/B Cassini di CAMPUR dengan ( 21759.46 )


JIKA kordinat GDM2000 mahu ditukar kepada Cassini Selangor perlulah :


a.) Kordinat U/S GDM2000 di CAMPUR dengan ( 55960.95 )

b.) Kordinat T/B GDM2000 di TOLAK dengan ( 21759.46 )


*proses yang diterbalikkan dan juga pengabaian nilai negatif pada kordinat ( -55960.95 , 21759.46 ) GDM2000 bagi origin 0,0 Cassini Selangor.


PENUKARAN CASSINI NEGERI LAIN KE GDM2000

Bagi negeri-negeri lain yang mempunyai sistem kordinat State Cassini yang mempunyai titik origin 0,0 yang tersendiri, apa yang perlu dilakukan adalah sama seperti di atas.

Anda hanya perlu tahu nilai kordinat GDM2000 bagi titik origin 0,0 mengikut sistem kordinat State Cassini negeri masing-masing dan kemudian hanya perlu mencampurkan nilai kordinat Cassini dengan nilai kordinat GDM2000 bagi titik origin 0,0 tersebut untuk mendapatkan kordinat GDM2000 setiap titik kordinat yang dalam State Cassini.

Jika mahu menukar kordinat GDM2000 kepada State Cassini pula, kordinat GDM2000 perlu ditolak dengan kordinat GDM2000 bagi titik origin ( 0,0 ) State Cassini 

DIBERIKAN CONTOH

Cassini ( 0,0 ) = ( xxxxx , yyyyy ) GDM2000


KORDINAT CASSINI NEGERI TUKAR KE GDM2000


Cassini ( x,y ) + ( xxxxx , yyyyy ) = GDM2000


KORDINAT GDM2000 TUKAR KE CASSINI NEGERI


GDM2000 - ( xxxxx, yyyyy ) = ( x,y ) Cassini


NILAI TITIK ( 0,0 ) BAGI SETIAP NEGERI DI SEMENANJUNG MALAYSIA BOLEH DIRUJUK DALAM FOTO BAWAH



( klik imej untuk zoom pembesaran )




SEKIAN TERIMA KASIH

-------------------------------------------------------------
Jurukur Tanah Klang @ 2023

04 Mei, 2016

MEMBUAT STATION CONTROL POINT SECARA RESECTION










( KLIK FOTO UNTUK ZOOM BESARKAN )




Mengikut
amalan biasa ukur tanah apabila hendak membuat satu ‘station control point’ ( stn / cp ),
alat ukur iaitu alat total station perlu dipasang dan disetkan di atas satu station yang telah sedia ada dan kemudiannya di ikat bearing belakang ( back
bearing ) kepada station yang lain yang ada di belakangnya. 





Contohnya seperti gambarajah di atas, jurukur akan memasang alat total station di atas station 2 kemudian
bearing belakang di ikat kepada station 1. Selepas itu barulah satu station
baru iaitu station 3 dibuat dan dibaca observation bearing, vertical* dan jaraknya ( slope distance* & horizontal
distance ).





* tujuan dibaca vertical dan slope distance
adalah untuk mengira ketinggian aras laras station tersebut secara tackymeter.








Ini
membawa maksud apabila hendak membuat satu station yang baru, perlulah kena ada 2 station yang telah pun mempunyai nilai kordinit dan aras laras.
Jikalau hanya ada 1 station sahaja yang ada maka tak dapatlah digunakan untuk membuat 1 station
yang baru.





Membuat station dari 1 station yang tanpa ada station rujukan
untuk bacaan back bearing tidaklah dapat di ikat dengan bearing yang sebenar.
Jika digunakan juga, maka back bearing yang di ikat hanyalah merupakan ‘
bearing anggapan’ sahaja dan perlu pula
di ikat kepada station-station yang lain di tempat yang lain atau pun
dibuat ‘
cerapan matahari’ bagi
pengiraan pembetulan bearingnya.





Jadi
dengan mengguna pakai teori amalan yang sama iaitu ‘perlu ada 2 station untuk membuat 1 station baru’ jurukur boleh membuat 1 station baru itu
secara ‘resection’ tetapi dengan tanpa memasang alat total station di atas mana-mana
satu pun daripada 2 station yang telah sedia ada tersebut.







Station
baru yang ke 3 tersebut boleh terus dibuat dan dipasang dan disetkan alat total
station di atasnya dengan syarat alat total station yang dipasang di atas
station baru tersebut mestilah boleh nampak dan boleh membuat observation bacaan
bearing dan jarak kedua-dua station yang telah sedia ada. 





Tetapi perlu diingat
amalan membuat station baru secara resection ini hanya boleh diterima jika
untuk tujuan kegunaan sementara sahaja. Cara resection ini tidak boleh
digunakan bagi membuat station yang baru dalam kerja ukur terabas / traverse.











( KLIK FOTO UNTUK ZOOM BESARKAN )




CARA-CARA MEMBUAT STATION SECARA RESECTION






a.) Buatkan
1 station baru dengan menggunakan paku di atas kayu piket ( atas tanah ) atau
paku payung / paku konkrit ( atas permukaan simen atau jalan ) yang
berkedudukan boleh nampak dengan jelas 2 station yang telah sedia ada.





b.) Kedudukan
yang terbaik bagi station baru tersebut adalah pada jarak melebihi 30 meter dengan
bukaan sudut yang tidak kurang daripada 30 darjah diantara kedua-dua station
tersebut. 
( Tidaklah menjadi kesalahan jika jarak adalah kurang dari 30 meter dan bukaan sudut kurang dari 30 darjah. Peraturan 30 meter dan 30 darjah ini adalah sekadar untuk meminimakan nilai selisih bacaan dalam mendapatkan hasil ukuran yang lebih tepat )





c.) Pasangkan
dan setkan alat total station di atas station baru tersebut. ( STN 3 )





d.) Pasangkan
‘target prism’ di atas STN 1 & STN 2





e.) Dengan
menggunakan bearing anggapan, buat bacaan observation ‘bearing dan jarak’ ke STN 1





f.) Kemudian
buat bacaan observation 'bearing dan jarak' ke STN 2 pula





g.) Hitungkan
nlai ‘bearing terus dan jarak terus’ ( direct bearing & direct distance )
dari STN 1 ke STN 2 dari hasil kedua-dua bacaan observation tadi.







>>>NOTA PENTING<<<





Untuk menghitung 'bearing terus' dan jarak terus' dari STN 1 ke STN 2 dari hasil bacaan observation, ia perlu dihitung bermula dari





STN 1 > STN 3 > STN 2




Maka bacaan bearing pada observation ke STN 1 dilangkah ( e ) tadi perlulah dicampur ( + ) atau di tolak ( - ) dengan 180 darjah. Jika bearing observation lebih besar dari 180 darjah maka ia perlu ditolak ( - ) 180 darjah. Jika bearing observation lebih kecil dari 180 darjah maka ia perlu dicampur ( + ) pula dengan 180 darjah.





>>><<<   







h.) Bandingkan
‘bearing dan jarak terus’ yang didapati dari bacaan observation tadi dengan ‘bearing
dan jarak sebenar' dari STN 1 ke STN 2.





i.) Perkara
yang terpenting adalah ‘jarak terus’ yang didapati dari hitungan Stn 1 > Stn 3 > Stn 2 bacaan observation tadi
perlulah sama atau hampir sama dengan jarak sebenar STN 1 ke STN 2.





j.) Jika
‘jarak terus’ bacaan adalah sama dengan jarak sebenar maka hitungkan pula nilai
pembetulan di antara ‘bearing terus’ bacaan observation dengan bearing sebenar
STN 1 ke STN 2. Contohnya jika bearing sebenar adalah 225° 00’ 00” manakala ‘bearing
terus’ dari bacaan observation adalah 215° 00’ 00” maka nilai pembetulannya
adalah 
: +10° 00’ 00”.





k.) Buatkan
pembetulan pada bearing anggapan yang digunakan
untuk bacaan observation tadi dengan menggunakan nilai pembetulan +10° 00’ 00” dengan bearing bacaan STN 1 dan 
nilai pembetulan +10° 00’ 00” dengan bearing bacaan STN 2 ( rujuk langkah e, f & g
di atas )
 





l.) Setelah dibuat pembetulan +10° 00’ 00” pada kedua-dua bearing bacaan observation ke STN 1 dan STN 2 daripada STN 3, sekarang hitungkan sekali lagi nilai ‘bearing dan jarak terus’ dari STN 1
ke STN 2 dengan secara bermula dari STN 1 > STN 3 > STN 2.







m.) Setelah hitungan semula dibuat dengan menggunakan nilai pembetulan +10° 00’ 00”  pada bearing observation tadi, jika didapati nilai ‘bearing dan jarak terus’ bacaan observation dari STN 1 ke STN 2 adalah menyamai dengan ‘bearing dan jarak sebenar' STN 1 ke STN 2 maka hitungkan pula nilai
kordinit STN 3 dengan menggunakan bearing dan jarak yang didapati daripada
bacaan observation yang telah pun dibuat pembetulan pada bearingnya.







>>>JANGAN LUPA<<<



Apabila menghitung 'bearing terus' dan 'jarak terus' dari STN 1 > STN 3 > STN 2 , bearing dari bacaan observation dari STN 3 ke STN 1 tadi perlulah samada dicampur atau ditolak dengan 180 darjah.



Jika terlupa mencampur atau menolak dengan 180 darjah akan menyebabkan nilai dapatan dari hitungan 'bearing dan jarak terus' tersebut akan mendapat nilai yang SALAH.






>>><<<





SEKIAN TERIMA KASIH





"SHARING IS CARING"








17 April, 2016

GRADIAN ATAU KECERUNAN BAGI SLOPE BUKIT DAN JALAN




Di dalam kerja Ukur Kejuruteraan bagi kerja tanah / 'earthwork' iaitu kerja-kerja penyediaan tapak pembinaan samada dalam projek pembinaan bangunan, taman-taman perumahan, empangan dan juga jalan atau lebuhraya, pasti akan ada tempat-tempat tertentu yang perlu dibuat cerun atau lebih mudah disebut sebagai 'slope'.

Jika kawasan tapak pembinaan itu merupakan kawasan berbukit, apabila melakukan kerja pemotongan tanah bukit, slope-slope yang perlu dibuat mungkin akan bertingkat tingkat tingginya. Setiap slope itu akan mempunyai 'gradian' atau 'kecerunan' tersendiri yang telah ditandakan di dalam pelan oleh jurutera rekabentuk bertujuan menjamin kestabilan tanah bukit itu selepas kerja pemotongan tanah dilakukan.

Gradian atau kecerunan slope ini akan ditandakan dengan kadar nisbah antara 'ketinggian' dan 'jarak' dari kepala slope ( top ) dengan kaki slope ( toe ).





Dengan merujuk kepada angka gradian nisbah yang telah diberikan seperti contoh di atas, seorang jurukur perlu mengira dan kemudiannya menandakan dengan tepat dimana letaknya kepala dan juga kaki slope tersebut.

Bagi slope yang ditandakan dengan gradian nisbah 1 : 1, ini bermaksud bahawa pada setiap ketinggian 1 meter jaraknya juga adalah 1 meter. Begitu juga jika ditandakan dengan gradian nisbah 1 : 2, maka pada setiap ketinggian 1 meter jaraknya pula adalah 2 meter.


CONTOH PENGIRAAN

Apabila ketinggian 2 tapak tanah itu terdapat perbezaan setinggi 3 meter

Jika ditandakan dengan gradian nisbah 1 : 1

Maka jarak antara top dan toe slope tersebut adalah 3 meter.

Jika ditandakan dengan gradian nisbah 1 : 2

Maka jarak antara top dan toe slope tersebut adalah 6 meter.


GRADIAN KECERUNAN JALAN

Bagi kerja pembinaan jalan, terdapat juga gradian pada nisbah-nisbah yang tertentu yang akan menentukan ketinggian antara tengah jalan dengan tepi jalan. Gradian pada jalan adalah bagi tujuan pengaliran air hujan masuk ke longkang dan juga bagi tujuan keselamatan dan kestabilan kenderaan apabila melalui selekoh jalan yang panjang.

Biasanya terdapat 2 jenis permukaan jalan yang dibina. Bagi jalan yang tinggi di tengah tetapi rendah di kiri dan kanannya digelar sebagai 'camber'. Manakala bagi jalan yang tinggi di sebelah kiri atau kanan tetapi rendah di tepi jalan yang sebelah lain digelar pula sebagai 'super elevation'. 

Biasanya jalan dari jenis camber adalah pada jalan lurus manakala jalan jenis super elevation ( atau sering disebut sebagai 'super E' sahaja ) pula apabila jalan itu berselekoh panjang samada ke kiri atau ke kanan.


( klik foto untuk zoom besarkan )

Gradian untuk pembinaan jalan adalah sama juga dengan gradian bagi pembinaan slope bukit. Cuma bagi pembinaan jalan kadang-kadang nilai gradian ini tidak ditulis dengan kadar nisbah antara ketinggian dan jaraknya tetapi ditulis dalam nilai peratusan kecerunan.

Berpandukan gambarajah contoh di atas, gradian kecerunan bagi jalan tersebut telah ditanda dengan kadar nisbah 1 : 40. Ini bermaksud bagi setiap 1 meter ketinggiannya maka jaraknya adalah 40 meter. Nisbah 1 : 40 ini juga boleh dituliskan dalam nilai 2.5%. 


1/40 x 100 = 2.5


CONTOH PENGIRAAN

Dari gambarajah atas diberi lebar jalan tersebut adalah 3.5m satu lorong. Pada sebelah kanan atau RHS terdapat 4 lorong dan pada sebelah kiri atau LHS terdapat 3 lorong. Ketinggian tengah jalan pula adalah 5.00 meter.


RHS

Lebar jalan : 3.5m x 4 = 14.00m

Kecerunan atau beza tinggi jalan : 1/40 x 14 = 0.350m

Ketinggian jalan RHS : 5.00m - 0.350m = 4.650m


LHS

Lebar jalan : 3.5m x 3 = 10.50m

Kecerunan atau beza tinggi jalan : 1/40 x 10.50 = 0.2625m

Ketinggian jalan LHS : 5.00m - 0.2625m = 4.7375m


NOTA KAKI

Bagi slope untuk cerun bukit terdapat 2 jenis slope iaitu antara 'slope mati' dan 'slope hidup'. Slope mati bermaksud jarak dan tempatnya adalah tetap manakala bagi slope hidup pula jarak dan tempatnya adalah bergantung kepada ketinggiannya. Kaki atau kepala slope akan berubah tempat apabila ketinggian tanah berubah atau berbeza.

Gradian bagi setiap slope yang perlu dibuat apabila garisan jajaran bagi projek pembinaan lebuhraya atau landasan keretapi melalui kawasan berbukit adalah bergantung kepada jenis material tanah yang ada di situ. Bagi jenis tanah merah yang biasa, dari bawah 3 lapisan slope boleh dibuat lebih tegak dengan gradian 1 : 1 ( 1 meter tinggi = 1 meter jarak ). Untuk 3 lapisan berikutnya yang lebih tinggi kedudukan dari aras jalan, slope perlu dicondongkan sedikit dengan gradian 1 : 1.5 ( 1 meter tinggi : 1.5 meter jarak ). Dan bagi lapisan slope yang seterusnya sehingga ke kemuncak bukit, slope perlu dicondongkan lagi kepada gradian 1 : 2 ( 1 meter tinggi : 2 meter jarak ).

Ini hanyalah daripada pengalaman penulis sahaja secara praktikalnya keputusan setiap jenis gradian slope yang perlu dibuat adalah keputusan pihak jurutera rekabentuk dan pihak konsultant. Jurukur perlulah merujuk pada pelan rekabentuk yang telah diluluskan bagi pembinaan.

TERIMA KASIH