expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

25 Oktober, 2014

MEMBUAT PENANDAAN ARAH KIBLAT












Assalamualaikum dan salam sejahtera wahai pembaca Blog BaganBeachBoy sekelian. Bersempena dengan tibanya tahun baru 1436 Hijrah pada hari ini, aku akan ceritakan pula pengalaman aku dalam menandakan arah kiblat bagi pembinaan surau, madrasah atau masjid iaitu tempat bagi orang yang beragama Islam melakukan ibadah sembahyang secara berjemaah. Bagi yang tak faham apa itu berjemaah, ia bermaksud beramai-ramai.





Yang dimaksudkan dengan arah kiblat pula adalah arah umat Islam mengadap sewaktu berdiri tegak dan bersujud ketika bersembahyang. Arah kiblat ini bukanlah boleh di arahkan sesuka hati dan mengadap kemana mana saja. Arah kiblat adalah merupakan arah yang mengarah ke bangunan Kaabah yang terletak di tengah-tengah Masjidil Haram di Mekah, Arab Saudi. Untuk lebih senang faham bagi pembaca yang bukan beragama Islam, Masjidil Haram itulah tempatnya setiap tahun berjuta orang yang beragama Islam pergi menunaikan Haji.





Jadi dipendekan cerita, sebelum dibina bangunan bagi surau, madrasah atau menaksah ( sebutan orang Utara untuk madrasah ) dan juga masjid, arah bagi kiblat mestilah ditandakan terlebih dahulu. Arah kiblat inilah yang akan menjadi baseline bagi kedudukan bangunan surau, madrasah, menaksah dan masjid ini. 

Jadi bagaimanakah caranya nak menandakan arah kiblat ini..???







Sebenarnya ada banyak cara dan panduan untuk menentukan arah kiblat samada di darat, di laut atau pun di angkasa. Tetapi apa yang aku nak ceritakan hari ini cuma cara menandakan arah kiblat di darat saja samada secara kaedah moden menggunakan alat ukur teodolite atau pun secara tradisi manual menggunakan panduan bayang-bayang objek dari cahaya matahari.





Jadi aku akan mulakan dengan kaedah pertama iaitu kaedah penandaan yang paling tepat sekali yang tak perlukan sebarang alatan pun selain daripada bayang-bayang objek yang terbentuk daripada cahaya matahari.





KAEDAH ISTIWA MATAHARI DI ATAS KAABAH





Pada setiap tahun terdapat 2 hari iaitu pada 28 Mei dan juga 16 Julai kedudukan matahari akan berada tepat di atas bumbung Kaabah pada waktu tengahari waktu tempatan Arab Saudi. Ini bermakna pada waktu matahari berada pada kedudukan tersebut di Kaabah, Mekah waktu di Malaysia pula adalah melebihi 5 jam dari waktu disana kerana negara Malaysia lebih awal 5 jam terbit matahari berbanding dengan Arab Saudi. 





Pada setiap tahun pada 2 hari tersebut di waktu sekitar 5.15 petang hingga 5.30 petang kedudukan matahari akan berada tepat di atas bumbung Kaabah. Jadi pada 2 waktu tersebut setiap bayang-bayang objek yang terhasil dari cahaya matahari di seluruh dunia akan menghala tepat ke arah Kaabah. Maka 2 waktu tersebut adalah merupakan waktu yang paling tepat sekali untuk menandakan arah kiblat bagi umat Islam di seluruh dunia. 



Tetapi sayangnya ia hanyalah sekadar 2 waktu yang singkat sahaja dalam setahun dan andaikata pada waktu tersebut cuaca mendung atau hujan maka tak dapatlah kita nak menanda atau memperbetulkan arah kiblat. Jadi terpaksalah kita gunakan kaedah lain pula untuk menandanya.







KAEDAH TRADISI PENGGUNAAN TONGKAT ISTIWA MATAHARI









Cuba lihat foto di atas dan fahami betul-betul caranya. Sebelum kita boleh menandakan arah kiblat, terlebih dahulu kita perlulah menandakan arah Timur dan Barat kawasan tersebut berpandukan bayang-bayang dari cahaya matahari. 





Mula-mula sekali tapak tanah bagi bangunan surau, madrasah, menaksah atau masjid itu perlulah diterang dan diratakan dahulu. Kemudian ambil sebatang kayu yang panjangnya di antara 1 hingga 2 meter, pacakkan ke dalam tanah dan yang terbaik adalah kayu tersebut ditimbang air atau digantung plumbob dengan benang di sebelahnya supaya kayu yang terpacak itu betul-betul tegak tidak condong. Kemudian buatkan bulatan dengan berjejari radius 1 meter dikeliling kayu tersebut.





Pada waktu pagi, tandakan bayang kayu itu yang mencecah garisan bulatan tadi dengan kayu pendek. Dan kemudian lakukan yang sama pada waktu petang pula. Maka sekarang kita dah ada 2 tanda bayang matahari pada 2 waktu yang berbeza. Seterusnya buatkan garisan lurus bagi menyambung kedua-dua tanda kayu pendek tersebut. Dengan adanya garisan itu kita dah dapat menentukan arah Timur dan Barat bagi kayu tinggi yang kita pacakkan tadi.





Lakukan langkah yang seterusnya adalah berpandukan foto di bawah ini.

















Setelah siap menandakan garisan bagi arah Timur dan Barat, cabutkan kayu panjang tadi dan pacakkan pula di atas garisan tersebut. Kemudian ukurkan jarak 5 meter panjang dari kayu tersebut ke arah Barat dan tandakan. Lakukan sedikit pengiraan matematik mudah dengan formula yang telah aku tunjukkan di dalam foto di atas. 



Bearing arah kiblat yang aku tunjukkan sebagai contoh di dalam foto di atas adalah arah kiblat bagi daerah Klang, Selangor. Untuk daerah lain silalah tukarkan bearing arah kiblatnya dan jika tak tahu anda boleh klik link ini iaitu website e-Solat JAKIM. Disana terdapat info berkenaan jadual waktu solat dan juga arah kiblat mengikut zon-zon tertentu bagi seluruh Malaysia dan juga luar negara. Anda hanya perlu menukar zon untuk mengetahui arah kiblat bagi tempat anda.





Panjang garisan X dalam foto contoh di atas adalah :



X = tan ( 22 darjah 20 minit 35 saat ) X 5 meter

X = 2.055 meter



Setelah kita tahu panjang garisan X tersebut, ambil pembaris sesiku yang biasa digunakan oleh tukang kayu buatkan garisan menuju ke arah Utara yang bersudut tepat dengan jarak yang kita dah kira tadi iaitu 2.055 meter. Kemudian buatkan pula satu garisan dari kayu tinggi itu disambungkan ke penghujung garisan X tersebut. Garisan dari kayu tinggi yang bersambung dengan hujung garisan X itulah arah kiblat kita. Maka sekarang siaplah sudah kerja penandaan arah kiblat secara manual dengan berpandukan bayang-bayang dari cahaya matahari.





KAEDAH MODEN MENGGUNAKAN TEODOLITE

















Sekarang boleh dikatakan kesemua kerja penandaan arah kiblat adalah dilakukan dengan menggunakan peralatan moden yang berketepatan tinggi. Teodolite bukanlah digunakan untuk menandakan arah kiblat sahaja tetapi turut digunakan dalam menentukan tarikh 1 Ramadhan iaitu permulaan bulan puasa dan juga 1 Syawal iaitu Hari Raya Puasa bagi umat Islam. 



Penggunaan teodolite bagi menentukan tarikh 1 Zulhijjah dalam kalendar Islam pula akan menentukan tarikh 9 Zulhijjah iaitu tarikh bagi bakal-bakal haji melakukan wukuf di padang Arafah dan sekaligus menentukan juga tarikh 10 Zulhijjah iaitu tarikh Hari Raya Haji atau lebih dikenali sebagai Idul Adha atau Hari Raya Korban bagi umat Islam seluruh dunia.



Berbalik kepada penggunaan teodolite untuk penandaan arah kiblat umat Islam. Seperti juga dalam mana-mana kerja ukur mestilah dimulai dengan pencarian DATUM yang sah iaitu 3 batu sempadan yang masih berkeadaan baik dan sama seperti dalam Pelan Akui.


Berpandukan foto contoh di atas, setelah datum bagi bearing dan kordinit disahkan dengan mengikatkan bearing pada BKL ( batu konkrit lama ) sempadan lot tersebut, kerja traverse perlu diteruskan dengan membuat satu station kawalan horizontal di tengah-tengah tapak cadangan bagi bangunan surau, madrasah, menaksah atau masjid tersebut. Sekurang-kurangnya 2 reference mark ( RM ) perlu dibuat selari dengan garisan bearing arah kiblat. Sebaiknya RM tersebut diletakkan jauh sedikit dari kawasan tapak pembinaan dan RM tersebut juga akan berfungsi sebagai baseline bagi gridline bangunan itu.



Ini adalah kerana telah menjadi kebiasaan bagi bangunan surau, madrasah, menaksah dan masjid, keseluruhan bangunan itu akan berpusing dan mengadap ke arah kiblat. Walaupun dibina dalam bermacam-macam rekabentuk tetapi setiap gridline bagi bangunan itu nanti akan mengikut bearing arah kiblat terutamanya bagi ruangan dewan sembahyang.



Jadi, sama juga seperti kerja pengukuran bagi bangunan yang lain, RM bagi baseline bangunan itu perlulah terletak di tempat yang selamat, disimenkan serta dipagar supaya dapat bertahan lama dan sebolehnya dapat bertahan sehingga siap bangunan tersebut.



Dengan adanya 2 RM tersebut maka senanglah arah kiblat bagi bangunan surau, madrasah, menaksah dan masjid tersebut ditandakan apabila memulakan kerja pembinaannya.

 
Sampai disini dahulu untuk kali ini. Terima kasih kerana sudi menjengah ke blog aku dan... 



SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 1436 HIJRAH.....





    

20 Oktober, 2014

CARA MEMBUAT LEVELING DALAM PROJEK MEMBINA BANGUNAN




Asas membuat leveling menggunakan alat dumpy level adalah dengan membaca ketinggian setaf pada TBM dan kemudiannya membaca pula ketinggian setaf pada ‘Change Point’ ( CP ).

Cara membuat leveling adalah seperti yang ditunjukkan pada gambarajah di atas.

Pertama sekali jurukur perlu memasang alat dumpy level pada kedudukan di tengah-tengah di antara TBM dan juga CP1. Jikalau keadaan mukabumi adalah berbukit tidak rata pastikan bahawa tempat untuk memasang alat level itu boleh nampak kedua-dua point TBM dan juga CP1 tersebut.

Diberikan contoh ketinggian RL TBM adalah : 5.250m dan bacaan ketinggian setaf pula adalah 3.550m. Setelah itu alat level dipusing dan dibacakan pula ketinggian setaf pada CP1 iaitu 0.655m.


Cara mengira ketinggian CP1 adalah seperti berikut


RL CP1 = ( RL TBM + tinggi setaf TBM ) – tinggi setaf CP1

RL CP1 = ( 5.250m + 3.550m ) – 0.655m

RL CP1 = 8.800m – 0.655m


RL CP1 = 8.145m




Cara membuat leveling dari TBM ke tingkat atas

Buatkan CP1 berdekatan dengan tepi bangunan tersebut. Bacakan
ketinggian setaf TBM kemudian bacakan pula ketinggian setaf CP1. 

Pindahkan alat
level ke tingkat atas dan bacakan ketinggian setaf CP1 yang telah dipanjangkan sehingga alat level boleh membaca ketinggiannya. Kemudian buatkan pula CP2 di atas lantai tingkat tersebut dan bacakan ketinggiannya



Setelah dibuat CP2 pada lantai tingkat tersebut, untuk meneruskan lagi kerja leveling ke tingkat lebih atas jurukur perlulah membuat leveling menerusi tangga bangunan itu. Cara-caranya adalah seperti di dalam gambarajah di atas. Tetapi jika bangunan itu masih belum dibuat tangga maka kerja membuat leveling tidaklah boleh dibuat menerusi tangga bangunan itu.









Oleh kerana lantai bangunan itu adalah sama jaraknya maka pada bahagian tepi lantai tingkat atas bangunan tersebut perlulah dipasang dengan kayu yang dipaku atau bagi lantai yang masih belum dikonkrit lagi perlulah di ikat dengan dawai dengan kuat supaya kayu itu kukuh tidak bergoyang dan tetap disitu tidak bergerak apabila meletakkan setaf di atasnya.


Kayu itu perlulah terkeluar sedikit dari lantai bangunan tersebut dan kedudukan bagi CP1 adalah di atas kayu pada bahagian yang berada di luar dari lantai tersebut. Gunakan paku untuk menanda CP1 tersebut atau boleh juga sekadar dicatkan sahaja pada bahagian tempat meletakkan setaf.Jikalau lantai tingkat atas masih juga tidak mempunyai tangga, lakukan yang sama apabila hendak membuat leveling ke tingkat yang lebih atas. Jurukur perlu memasang alat pada tingkat atas kemudian untuk bacaan back sight setaf di tingkat bawah perlulah dipanjangkan sehingga alat level dapat membuat bacaan ketinggiannya. Pasangkan kayu di lantai atas tersebut seperti di tingkat bawah tadi dan bacakan pula ketinggiannya.


Nota kaki :


Oleh kerana ada banyak yang bertanya mengenai cara membuat leveling ke tingkat yang lebih atas dalam kerja ukur bangunan, maka aku tuliskan entri ini yang merupakan salah satu bab yang terdapat dalam E-Book : Ukur Kejuruteraan Setting Out Bangunan


Jadi kepada yang telah bertanya moga anda faham cara caranya dan jika tak faham jugak maka aku pun dah tak tahu dah nak terangkan macamana lagi....

Terima kasih kerana sudi menjengah ke blog aku...

SHARING IS CARING

05 Oktober, 2014

BUKU GARIS PANDUAN UKUR KEJURUTERAAN SETTING OUT BANGUNAN









Kalau kita melihat pada iklan-iklan jawatan kosong bagi jawatan JURUKUR TANAH, LAND SURVEYOR dan SITE SURVEYOR yang ada di dalam akhbar atau pun di website internet yang cukup popular bagi golongan pencari pekerjaan iaitu Jobstreet.com, boleh dikatakan lebih dari 80% daripada iklan jawatan kosong yang memerlukan Jurukur Tanah itu adalah merupakan iklan dari syarikat kontraktor yang terlibat dengan projek membina bangunan.





Selain dari itu kalau kita melihat pula dari segi gaji yang ditawarkan untuk jawatan Jurukur Tanah, yang tertinggi yang ditawarkan, juga adalah dari syarikat kontrakor yang terlibat dengan projek membina bangunan.





Ini bermakna peluang untuk mendapatkan kerja dengan bergaji tinggi bagi pelajar bidang Ukur Tanah atau sekarang lebih dikenali sebagai Sains Geomatic yang dah tamat pengajiannya adalah lebih besar di dalam sektor ini berbanding yang lain.









Tetapi adalah menjadi kebiasaan bagi pihak kontraktor menetapkan pengalaman dan kebolehan bekerja tanpa memerlukan penyeliaan serta tunjuk ajar atau dalam bahasa Inggeris disebut 'independently' adalah menjadi keutamaan dan sangat-sangat mempengaruhi jumlah gaji yang bakal ditawarkan nanti. Jadi disinilah masalahnya dan mungkin juga menjadi batu penghalang bagi golongan pelajar yang baru saja hendak menjejaki dunia kerjaya sebagai Jurukur Tanah. 





Walaupun bidang ukur kejuruteraan bangunan ini dipelajari secara teori waktu menuntut dulu tapi ia hanyalah sekadar teori dan tidak kesemua kemahiran yang perlu ada dan cara kerja praktikalnya di ajarkan oleh para pensyarah. Untuk mendapatkan informasi lengkap di internet juga adalah amat susah.





*aku tergelak bila baca balik intro yang aku tulis kat atas. Ok lah... balik ke gaya asal penulisan aku dan bukan yang standard STPM macam kat atas. 





3-4 tahun yang lepas aku ada tuliskan entri disini berkenaan kerja setting out bangunan. Ternyata banyak la jugak 'page klik' atau 'page view' dan pertanyaan yang aku dapat lebih-lebih lagi yang nak minta lebih penjelasan tentang cara nak buat kerja ukur bangunan. 



( Secara ranking, artikel berkenaan Setting Out Bangunan ini berkedudukan di tempat ke 3 di dalam website ini bagi tempoh sepanjang masa dari mula diterbitkan hinggalah sekarang ).



Macamanalah aku nak jelaskan dengan sejelas jelasnya kat sini disebabkan ruangan blog terhad dan aku pun nak kena menaip panjang macam nak buat laporan presentation....letih la kawan. Tapi sekurang kurangnya yang mana tak jelas tu dah aku perjelaskan dalam ruangan komen sampaikan ada jugak yang 'copy n paste' entri aku dan masukkan ke dalam blog dia tanpa sikit pun nak berterima kasih kat aku apalagi nak minta keizinan dari aku. Tak apa la, buat la macam rumah sendiri noo..





Jadi apa yang aku nak bagitau kat sini hari ni adalah, seperti yang pernah aku bagitau dulu, aku dah pun siapkan penulisan e-book garis panduan kerja ukur setting out bangunan ni walaupun agak terlambat sebulan dari jadual asal tapi tak kisahlah pasal aku berjaya juga siapkannya akhirnyaaaa....


Horeeeeeeeeeeyyyy.........




( kalau habis baca semua email kat inbox gmail, inilah yang gmail cakap )




Segala penat lelah otak dan jari jemari aku untuk nak bagi siap terasa lega sangat-sangat bila selesai saja fasa akhir lepas aku masukkan cover buku yang agak comel seperti foto kat atas.





E-book iaitu buku elektronik tanpa kertas berupa file dokumen komputer dalam format PDF adalah berupa garis panduan bagi semua kerja-kerja ukur yang perlu dibuat dan cara membuatnya dengan betul oleh jurukur tapak / site surveyor secara praktikal di tapak pembinaan dalam projek membina bangunan. Untuk lebih mudah memahaminya, setiap penjelasan dalam bentuk nota-nota turut disertakan dengan lakaran, foto contoh dan juga pelan contoh yang ada hubungkait dengan setiap kerja ukur yang perlu dibuat. E-book ini bukanlah satu modul kuliah untuk kursus sijil, diploma atau ijazah ukur tanah. Dalam e-book ini tidak terdapat walau satu formula pun bagi apa-apa pengiraan kerana aku yakin sebagai seorang jurukur anda pasti dah tahu cara nak mengira kordinit bagi setiap station traverse, mengira bearing dan jarak bagi 2 titik ataupun mengira aras laras bagi kerja leveling. Tapi kalau tak tahu juga.... tanyalah aku kat ruang komen nanti aku akan bagitau macamana cara nak mengiranya.



Dalam e-book ini juga aku berikan penerangan jelas beserta contoh bagaimana caranya nak membuat 3 kawalan terpenting dalam kerja ukur bangunan. Kawalan-kawalan itu adalah : 




1.) Kawalan Horizontal 

2.) Kawalan Aras Laras / Ketinggian 

3.) Kawalan Verticality iaitu ketegakan bagunan.



Aku bagi jaminan walaupun e-book ini tidaklah tebal tapi ianya sangat padat dengan isi dan dengan sekali baca saja anda pasti akan faham dan tahu bagaimana caranya yang betul untuk buat kerja pengukuran bagi setiap kerja-kerja ukur yang perlu dibuat dalam projek membina bangunan.

Dan bagi jurukur yang belum pernah buat kerja ukur bangunan, segala info yang ada dalam e-book ini nanti dapatlah anda gunakan mulai dari ketika anda menjalani temuduga kerja lagi dan seterusnya ketika anda memulai kerja sebagai jurukur tapak pembinaan bagi projek membina bangunan.





Kepada pembaca yang berminat untuk mendapatkannya, bolehlah menghubungi aku dan harga yang aku tawarkan adalah Rm30 sahaja. Hantarkan pertanyaan anda melalui WhatsApp atau email ke : 



WhatsApp : 012-3949064



Atau email ke :



baganbeachboy@gmail.com





Dengan modal Rm30 yang anda keluarkan untuk e-book ini anda mungkin akan berpeluang mendapatkan gaji sebanyak RM 3000 sebulan bila dah dapat pekerjaan nanti (gaji pokok + elaun + OT = mungkin lebih lagi kot). 

Garis panduan dalam e-book ini akan membekalkan anda teknik dan pengalaman kerja walaupun sebenarnya anda tak pernah buat pun kerja ukur bangunan selama ni. Ianya hanyalah bernilai 1% saja daripada gaji pertama yang bakal anda perolehi nanti.




Sekian dulu untuk kali ini..... SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA KORBAN tapi jangan pula diri sendiri yang menjadi korban